Pemergian Syaikh Abu Dahlan
Tanah Abe, Aceh ke sisi Kekasihnya empat tahun dahulu amat ku rasakan.
Hingga kini masih segar dalam ingatan saat-saat bersama al-marhum.
Dengannya aku mendapat bimbingan ilmu rohani dan diangkat menjadi
Khalifah Tarekahnya iaitu Tarekah Syathariyah, disaksikan sahabatku dan khalifahnya Prof Madya Dr. Mohd Syukri Yeoh Abdullah (PhD.UKM - Fellow Penyelidik Kanan/Pensyarah Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM) dan Ustaz Tengku Mohd Fouzy Jumat, ulama dan Ahli Majlis Fatwa Singapura.
Syaikh Abu Dahlan atau nama sebenarnya Tgk H Muhammad Dahlan Al-Fairusi Al-Bagdadi
(63) yang biasa disapa dengan Abu Tanoh Abee, merupakan Pimpinan Dayah
(Pondok) Tgk Chiek Tanoh Abee, Seulimuen, Aceh Besar dan seorang besar
di sana. Beliau meninggal dunia sekitar pukul 13.45 (WIB), Sabtu 18
November di Rumah Sakit Fakinah Kota Banda Aceh setelah beberapa tahun
melawan penyakit jantung yang dideritainya.
Beliau
merupakan ulama generasi kesembilan dari keturunan langsung Shaikh
Fairus, yang mendirikan Dayah (pondok) Tanoh Abee pada tahun 1627 M.
Shaikh Fairus sendiri adalah seorang ulama Sunni yang memiliki asal-usul
dari Baghdad, dan menjadi pengembang Islam di Aceh melalui Tarekah
Shattariyyah yang diajarkannya.
Kematiannya menjadi bahan berita
TV dan akhbar di Indonesia sehingga dikhabarkan ratusan ribu manusia
datang menziarahi jenazahnya.
Kata Umi (isteri Syaikh Abu
Dahlan), sehingga hari ketujuh pemergian Abu, manusia belum putus-putus
datang menziarahi dari seluruh Indonesia dan luar negara. Antara kisah
masyhur yang diperkatakan mereka hingga kini ialah berlakunya gegaran
kecil di bumi Aceh saat jenazahnya dimasukkan ke liang lahad sehingga
selamat disemadikan.
Pesantrennya menjadi tempat
kunjungan pelbagai pihak dari kebanyakan universiti di dunia. Mereka
datang untuk kajian terhadap manuskrip-manuskrip (kitab-kitab lama) yang
berada dalam perpustakaan Tanoh Abee yang tiada diperolehi di
tempat-tempat lain kerana dicuri dan dimusnahkan oleh pihak Belanda
waktu penjajahan dahulu.
Malahan, akibat tsunami yang
melanda pada 24 Disember 2004 yang memusnahkan beberapa lembaga
penyimpan dokumen bersejarah Aceh, maka semakin ramai yang datang
berkunjung ke tempat beliau untuk tujuan pengkajian dan sebagainya.
Jumlah naskah koleksi di Dayah Tanoh Abee ini dianggap sebagai yang
terbesar di Asia Tenggara untuk kategori koleksi lembaga tradisional
semacam Dayah ini.
Selama puluhan tahun Abu menjadi
semacam “khadam” yang menjaga dan merawat tidak kurang dari 3,500
teks-teks klasik keagamaan dalam bentuk manuskrip. Kecintaan Abu pada
ilmu membuatkan dirinya seringkali terkurung dalam bilik perpustakaan
bawah tanahnya dalam masa yang lama untuk menyusun kembali
helaian-helaian manuskrip yang telah tercabut, disamping memulihara
keadaan kitab-kitab tersebut.
Semoga Allah menempatkan Abu di kalangan para kekasihNya.
Al-Fatihah.
Info tambahan :
- Terdapat juga laporan dalam Al-Jazeera tentang kematian Abu serta berlakunya gempa bumi ketika saat kematian dan pengebumian jenazah. Ini disahkan sendiri beberapa pihak dari Malaysia yang menziarahi almarhum. Walllahu ‘alam
- Almarhum Abu juga dikenali kerana telah berjaya menyusun semula 9,000 naskah manuskrip dari kurun ke 16 yang terlonggok di zawiyah beliau.
- Almarhum pernah diminta oleh Bahagian Sejarah Negeri Melaka untuk mengesahkan maqam Syaikh Syamsuddin al-Sumatrani di Kg. Ketek, Melaka.
- Almarhum juga pernah ditemuramah dalam rancangan Jejak Rasul TV3.
Berita rujukan:
- Aceh Online - in-memoriam-abu-tanoh-abee-sang-pewaris-naskah-aceh.html
- Serambi Indonesia - Abu Tanoh Abee meninggal dunia
al faqir Tokku